Rasanya terpanggil untuk aku menyampaikan dan menulis mengenai topik ini. Secara jujurnya sebab utama aku ingin mengulas tentang topik ini adalah ekoran dari Demonstrasi menentang PPSMI baru-baru ini, yang secara ikhlasnya bagi pendapat aku amat mengejutkan. Terutamanya apabila salah seorang yang mengikuti demonstrasi ini adalah antara orang yang selama ini cukup aku hormati pemikirannya, A. Samad Said.
Antara sebab atau aku rasa lebih sesuai dilabelkan sebagai alasan mereka ialah 'pembunuhan Bahasa Melayu' dan 'majoriti rakyat menolak Matapelajaran Sains dan Matematik dalam English'. Persoalannya benarkah Bahasa Melayu akan 'terbunuh' dengan pelaksanaan PPSMI ini dan benarkah majoriti rakyat Malaysia atau orang2 Melayu menolaknya? Aku rasa persoalan ini haruslah dijawab oleh setiap individu yang merasa diri mereka Rakyat Malaysia, Orang Melayu, mahupun Bumiputera Sabah dan Sarawak sendiri. Blogku ini cukuplah untuk mengutarakan pendapatku sendiri sahaja.
Apakah impian setiap rakyat, sama ada Melayu, bukan Melayu, atau Bumiputera Sabah dan Sarawak ini bila berkaitan dengan masa depan Negara Malaysia ini? Aku tidak boleh jawab untuk mereka, tapi bagi aku ialah melihat Negara ini maju, berdikari, dan kuat, dalam ertikata lain, aku mahu Malaysia pada satu masa nanti tidak perlu gusar akan tekanan negara-negara maju, dihormati kerana pencapaian-pencapaian Ekonomi, Teknologi, dan penguasaan ilmu dalam bidang-bidang yang luas. Jadi apakah salahnya belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris? Mungkin bagi bidang sastera, penguasaan Bahasa Inggeris boleh dikatakan tidak relevan, tetapi sekurang-kurangnya untuk kedua-dua matapelajaran Sains dan Matematik ianya agak penting.
Mungkin ada pihak yang akan berhujah, kalau setakat mahukan penguasaan Bahasa Inggeris tidak perlulah ajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Aku bukanlah orang yang pandai untuk membuat penjelasan dan huraian, tapi disitulah mereka-mereka ini membuat kesilapan yang besar. Pandai Bahasa Inggeris bukan bermakna orang itu akan automatik boleh jadi saintis, kerana bukanlah bahasa Inggeris itu yang menjadi masalahnya, tetapi istilah, terma, jargon (apakah terjemahan Bahasa Melayu untuk jargon?) untuk bidang itu yang akan memberi masalah dan menentukan tahap penguasaan kita dalam ilmu itu. Untuk mempelajari dan menguasai sesuatu ilmu, rasionalnya kita mesti belajar dahulu bahasa ilmu itu. Setelah kita berjaya menguasai ilmu-ilmu ini, dan menghasilkan pakar-pakar yang tidak terbilang banyaknya, barulah kita boleh secara perlahan-lahan menghasilkan istilah, terma, dan jargon-jargon kita dalam Bahasa Ibunda kita. Mungkin ramai pelajar Matematik Tambahan di zaman aku sekolah boleh jawab soalan mengenai Sisihan Piawai, tapi bila diajukan soalan mengenai Standard Deviation akan terkebil-kebil, sedangkan ia adalah benda yang sama cuma dalam bahasa yang berbeza. Tiada masalah bagi aku sekiranya kita menterjemah ilmu itu ke dalam bahasa kita sendiri, Bahasa Melayu hatta Bahasa Brunei atau Dusun sekalipun, tapi sekiranya kita berfikir, apakah kegunaannya? tidak praktikal di masa sekarang kerana firma-firma yang menjalankan kajian untuk menghasilkan teknologi ataupun produk berasaskan sains tidak akan bertanya dan berkomunikasi dengan Bahasa Melayu atau Brunei atau Dusun dsb. Maka apa yang kita harus buat? bagi aku aku akan belajar ilmu itu dalam bahasa yang memudahkan aku untuk mempraktikkannya kemudian.
Ada juga pihak yang mempertahankan golongan pendemonstrasi ini dengan menggunakan Jepun, Perancis, Jerman dan beberapa negara Eropah yang lain. Mereka mengatakan negara-negara ini tidak perlu belajar sains dalam Bahasa Inggeris untuk jadi negara maju. Ini adalah kurang tepat. Kenapa? cubalah lihat jurnal-jurnal sains antarabangsa yang ditulis oleh saintis-saintis terkemuka Jepun, Perancis dan Jerman, Bahasa apakah yang mereka gunakan untuk menerbitkan jurnal mereka? Cuma kelebihan mereka ialah kerana mereka sudah begitu maju, maka untuk penemuan-penemuan terbaru di peringkat awal, mereka boleh memilih untuk menulis dalam bahasa mereka agar orang bangsa lain tidak faham. Walaubagaimanapun, sebelum mereka boleh buat begitu, mereka juga mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Ilmu setiap bidang untuk menguasai ilmu itu, berpuluh-puluh malah beratus tahun dahulu.
Pendapatku, tidak payahlah menentang, tidak rugi belajar dalam Bahasa Inggeris kerana sehebat manapun orang Melayu atau apa2 bangsa dalam bahasa Inggeris, dia tetap tidak akan melupakan bahasa ibundanya. Contoh? jangan tengok jauh, ambil sahaja orang-orang India dan Cina, kita paksa mereka belajar dalam bahasa Melayu dari kecil dalam majoriti matapelajaran, sehingga ramai dari mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam Matapelajaran Bahasa Melayu di peringkat menengah, dan ramai juga bilangan mereka yang memasuki fakulti sastera di universiti-universiti tempatan. Lupakah mereka Bahasa ibunda mereka?.. tidak kan?.
Jadi dari membuang tenaga dan sel-sel otak untuk buat penentangan dan demonstrasi jalanan, lebih baik mereka berusaha memikirkan bagaimana PPSMI boleh dipertingkatkan dari segi kaedah pelaksanaannya, bagaimana pelaksanaan yang sesuai agar tiada pihak yang tersisih dan terpinggir dari mencapai kemajuan diri dan penguasaan ilmu. Otak yang baik seperti A. Samad Said dan cerdik-cerdik pandai lain seperti bekas Profesor Sains UKM tu lebih berguna sekiranya digunakan untuk memikirkan bagaimana untuk upgrade PPSMI dan memberi faedah kepada semua rakyat Malaysia umumnya dan orang Melayu khususnya, daripada menyertai demonstrasi yang akan downgrade kita semua di mata dunia.
Takkan Melayu Hilang Di Dunia, Tapi apa gunanya tidak hilang di dunia kalau jadi bangsa yang mundur, lemah, berpecah belah, berfikiran sempit, tidak memberi kesan kewujudannya, memilih untuk sentiasa merungut dan buat demonstrasi jalanan? Lebih Baik Melayu Dihapuskan Dari Mukabumi Dari Jadi Bangsa Yang Memalukan dan tidak Relevan. Nasib baik aku Orang Brunei, hehehe